KUALA LUMPUR, 25 Feb – Aduan rakyat di kawasan Parlimen Bandar Tun Razak semakin meningkat dan keadaan ini dikatakan berpunca daripada kegagalan Anggota Parlimennya daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) menjalankan tugas dengan baik.
Selepas hampir sepenggal Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menjadi wakil rakyat kawasan itu, penduduk memberikan gambaran sukar untuk bertemunya serta beliau gagal menyelesaikan pelbagai isu seperti perumahan, penaja dan kemudahan asas kecil.
Ketua Pemuda UMNO Bandar Tun Razak Datuk Rizalman Mokhtar berkata penduduk memaklumkan Abdul Khalid yang juga Menteri Besar Selangor memberi alasan bahawa hal-hal itu di bawah tanggungjawab Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar.
“Apa peranannya sebagai wakil Parlimen?” katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini dan menurut Rizalman, sehingga kini aduan mengenai permasalahan penduduk yang terkumpul yang diterima pejabat Umno dan Barisan Nasional (BN) di kawasan itu berjumlah kira-kira 18,250 aduan.
Pejabat Umno dan BN kawasan itu yang dibuka setiap hari sentiasa sesak dengan penduduk setempat untuk mengadu masalah yang dihadapi mereka, katanya.
Rizalman yang juga Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan mendakwa Abdul Khalid adalah antara wakil rakyat yang sangat jarang turun padang.
“Jika beliau hadir ke (sidang) Parlimen, memang tak ada isu pun yang beliau ketengahkan mengenai masalah rakyat di kawasan ini. Jadi kita tak tahu Abdul Khalid ini, tujuannya menjadi wakil rakyat di sini, sama ada betul untuk berkhidmat atau hanya untuk menyumbang satu kerusi untuk pakatan pembangkang,” katanya.
Mengenai isu pemilikan Projek Perumahan Awam (PPA) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang merupakan antara faktor kekalahan BN di kawasan itu pada pilihan raya umum 2008, Rizalman berkata perkara itu telah diselesaikan apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan keseluruhan kawasan PPA dan PPR boleh dimiliki penduduk yang ingin memilikinya.
“Kita harap rakyat yang duduk di PPA dan PPR ini tidak melupakan usaha baik kerajaan dengan memberi peluang kepada BN untuk kembali di Parlimen Bandar Tun Razak (pada pilihan raya umum ke-13 akan datang),” katanya.
Pada 28 Jan lepas, Perdana Menteri dilapor berkata bahawa Skim Pembiayaan Khas bagi perumahan awam akan mula beroperasi 1 Mac ini bagi membantu mereka yang berminat memiliki rumah di kawasan ibu negara.
Skim itu yang dicadangkan Kementerian Wilayah Persekutuan Dan Kesejahteraan Bandar akan dilaksanakan di bawah Program Perumahan Rakyat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (PPR-MTEN) dan juga Perumahan Awam DBKL.
Ia akan dikendalikan Syarikat Perumahan Wilayah Persekutuan yang ditubuhkan di bawah Yayasan Wilayah Persekutuan dengan dana pembiayaan daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Dalam pada itu, Rizalman berkata beliau dan seluruh penduduk Bandar Tun Razak berterima kasih dan menyambut baik keputusan kerajaan yang memilih kawasan Parlimen itu untuk pembinaan Perumahan Rakyat 1Malaysia atau PR1MA, rumah mampu milik bagi golongan berpendapatan kurang daripada RM3,000 menerusi Skim Rumah Pertamaku.
“Kita menyambut baik pengumuman kerajaan untuk membina PR1MA dalam kawasan Bandar Tun Razak dan kita faham keluhan anak muda masa kini ialah keupayaan untuk membeli rumah. Tambahan lagi dalam kawasan Parlimen Bandar Tun Razak ini, nak mencari rumah yang murah cukup payah,” katanya.
Rizalman berkata jumlah belia di kawasan itu pada masa kini adalah seramai 90,000 orang dan daripada jumlah itu 42,000 adalah pengundi.
Beliau juga berkata, daripada 90,000 orang belia di situ, 60 peratus daripadanya adalah mereka yang menyokong BN manakala bakinya menyokong pembangkang atau berada di atas pagar.
Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Bandar Tun Razak itu berkata untuk tahun ini sahaja, pihaknya telah menyenaraikan kira-kira 50 program untuk belia dan penduduk di kawasan itu.
“Di samping kita mengadakan program seperti futsal dan bola sepak serta kemahiran menunggang motosikal, kita juga tidak lupa untuk mengadakan programilmiah serta keagamaan yang mana kita bekerjasama dengan persatuan penduduk dan masjid-masjid bagi mengimarahkan masjid selain aktiviti marhaban,” katanya.
Rizalman juga berkata selain program yang dianjurkan Pemuda Umno sendiri,pihaknya bersama rakan komponen BN turut menganjurkan pelbagai program seperti sambutan Hari Raya, Ponggal dan Tahun Baru Cina.
Parlimen Bandar Tun Razak yang mempunyai keluasan 3,832 kilometer persegi memiliki 84,000 orang pengundi, dan daripada jumlah itu, 52.73 peratus adalah Melayu, Cina (39.47 peratus), India (7.17 peratus) dan lain-lain sebanyak 0.61peratus.
Kawasan Parlimen itu mempunyai 22 buah taman perumahan, tujuh buah masjid,dua tokong dan kuil, 17 buah sekolah rendah dan 16 buah sekolah menengah serta pusat pengajian tinggi awam iaitu Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia dan Institut Pendidikan Guru (IPG).
Parlimen Bandar Tun Razak yang sebelum ini merupakan kubu kuat BN, terlepas ke tangan pembangkang pada pilihan raya umum 2008 apabila calon BN daripada MCADatuk Tan Chai Ho kalah kepada Abdul Khalid dengan majoriti 2,515 undi.
Sementara itu, penduduk yang mahu dikenali sebagai Ah Kwang, 35, berkata pelbagai program yang telah dianjurkan oleh BN sama ada dari MCA, MIC mahu pun Umno dalam usaha mendekati rakyat bukan sahaja merapatkan hubungan kaum, malah menjadi menjadi platform untuk penduduk saling mengenali antara satu sama lain.
“PKR langsung tidak ada program khusus untuk belia. Yang dia tumpu ialah politik sahaja. Tak ada benda lain pun. Inilah kerja pembangkang untuk rakyat,”katanya.
M. Yogeswaran, 43, pula berpendapat kau India di kawasan itu tidak pernah dipinggirkan oleh BN dan mahu perhatian berterusan diberikan bagi menyelesaikan masalah kaum itu seperti permohonan lesen perniagaan dan bantuan persekolahan.
“Prestasi BN dan MIC amat bagus. Saya rasa tidak ada parti lain yang mamputandingi BN. Kalau ada parti yang mengaku dia boleh tandingi BN dalam member khidmat kepada rakyat, saya rasa itu tipu saja. MIC dan BN banyak membantu kaum India di sini. PKR ke, DAP ke, PAS ke semua cakap sahaja, tapi tiada apa yang dia buat bahkan muka pun tak pernah nampak,” katanya.
Lagi Berita Berkaitan :
Isu Pasir: MB Khalid Ibrahim Lepas Tangan
PM Isytihar Bandar Pusat Jengka Sebagai Bandar Tun Abd Razak Khamis Ini
Puteri Bandar Tun Razak Rancak Daftar Pengundi Baru
RM900 juta Untuk Pembangunan Luar Bandar

Source: UMNO Online |