BARAM, 25 Feb – Kerajaan akan terus mengenalpasti kawasan-kawasan luar bandar untuk dimajukan sebagai pusat-pusat pertumbuhan baru, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini. Katanya, inisiatif di bawah Program Transformasi Luar Bandar ini akan mengambilkira pendekatan untuk mengurangkan penghijrahan masyarakat luar Bandar ke bandar. “Kerajaan tidak pernah melihat kawasan luar bandar sebagai [...]
BARAM, 25 Feb – Kerajaan akan terus mengenalpasti kawasan-kawasan luar bandar untuk dimajukan sebagai pusat-pusat pertumbuhan baru, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.
Katanya, inisiatif di bawah Program Transformasi Luar Bandar ini akan mengambilkira pendekatan untuk mengurangkan penghijrahan masyarakat luar Bandar ke bandar.
“Kerajaan tidak pernah melihat kawasan luar bandar sebagai kawasan bermasalah, sebaliknya kita akan terus melihat potensi-potensi yang terdapat di luar bandar dibangunkan,” katanya ketika berucap pada perhimpunan pemimpin bersama rakyat di Long Beruang di sini.
Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Alfred Jabu; Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal adalah antara kenamaan yang turut hadir di majlis itu.
Katanya, Long Beruang adalah antara kawasan yang berpotensi untuk dibangunkan sebagai pusat pertumbuhan baru ini.
Muhyiddin berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) di peringkat pusat dan negeri sudahpun mengambil beberapa inisiatif pembangunan di kampung Long Beruang yang dihuni masyarakat Penan.
Usaha ini sekaligus menangkis dakwaan segelintir pihak bahawa kerajaan meminggirkan masyarakat di kawasan luar bandar, katanya.
Beliau berkata kerajaan BN mahu masyarakat Penan bergerak maju sebaris dengan kaum-kaum lain di negara ini.
Semasa di Long Beruang, Timbalan Perdana Menteri melancarkan projek tenaga solar Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah bernilai RM1.5 juta yang memanfaatkan 350 orang penduduk di 67 buah rumah di kawasan itu.
Beliau turut melancarkan projek menara telekomunikasi Celcom bernilai lebih RM2 juta yang membolehkan liputan telefon selular di kawasan itu, selain menyampaikan benih getah untuk projek penanaman getah dan melepaskan 6,000 benih ikan empurau, satu spesies ikan eksotik di negeri ini.
Muhyiddin turut mengumumkan kelulusan peruntukan bagi pelbagai projek kecil luar bandar yang dipohon penduduk di situ bernilai lebih RM1 juta.
Semasa majlis pemimpin bersama rakyat di Long Peluan, sebuah perkampungan berdekatan Long Beruang, beliau melancarkan program Transformasi Luar Bandar.
Beliau juga meluluskan peruntukan RM3.7 juta untuk memulakan projek pertanian jangka pendek seperti tanaman sayur di situ, di samping meluluskan pelbagai projek kampung bernilai kira-kira RM628 juta.

Source: UMNO Online |